Friday, November 21, 2008

ADA RAKYAT HANYA TAHU "MENGAYAT"

Sehingga artikel ini ditulis, respon orang ramai yang ditemui mengenai penurunan harga minyak oleh kerajaan baru-baru ini ternyata kurang mendapat sambutan dan sokongan.
Cuma kedengaran di kaca televisyen mereka mengharapkan harga minyak diturunkan lagi. Entah sampai harga mana yang mereka mahukan baru mereka sokong?
Hilang isu harga minyak, timbul pula harga barang yang masih tidak turun. Kalau dulu peniaga memberi alasan harga barang naik kerana harga minyak naik. Nah, sekarang mereka masih mengekalkan harga barang walaupun harga minyak hampir menyamai harga sebelum harga naik semasa Jun lepas.
Ternyata peniaga tidak jujur berniaga. Jelas mereka hanya mahu mengaut keuntungan berganda daripada kesempitan hidup pembeli yang tidak mempunyai banyak pilihan terutama mereka yang tinggal di kawasan luar bandar.

Masih teringat lagi saya tindakan pembangkang menganjurkan demonstrasi jalanan dalam mendesak kerajaan menurunkan harga minyak. Masa itu bagai mahu kiamat dunia kerana kerajaan Barisan Nasional (BN) "bodoh" menaikkan harga minyak selepas menang dalam Pilihanraya Umum Ke-12. Kata mereka, inilah harga yang perlu mereka bayar setelah memangkah calon BN.
Apatah lagi, demonstrasi itu diketuai oleh "Raja Jampi Malaysia" atau "Dajjal Malaysia" iaitu Anwar Ibrahim. Makin rancak dan menjadi-jadi rakyat yang tidak reti mengenang budi kerajaan BN dalam menjalankan amanah dan menjadi kerajaan yang bertanggungjawab kepada rakyat.
Katakan sahaja jika Anwar Ibrahim menurunkan harga minyak sebanyak RM1 masa itu, maka kerajaan tidak akan dapat berjimat sebanyak RM7 bilion hasil daripada penjimatan subsidi minyak yang digunakan dalam pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan oleh Dato' Seri Najib baru-baru ini.
"Rakyat oh rakyat... Baik duduk rumah sahaja... Tidur... Jangan risau kerajaan akan bantu... Sudah menjadi "kerja" kerajaan menjaga kebajikan rakyat..." (Agaknya ayat siapakah ini...?)

Monday, November 10, 2008

LANGKAH TEGAS KERAJAAN BERHASIL

Pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Dato' Seri Najib Tun Razak mengenai pakej rangsangan ekonomi sebanyak RM7 bilion sangat memberi makna khususnya kepada rakyat yang berpendapatan rendah dan sederhana.

Pembangkang mempersoalkan dari mana sumber RM7 bilion, ternyata telah menampakkan kedangkalan fikiran mereka. Kerajaan menegaskan bahawa segala perbelanjaan yang digunakan untuk langkah-langkah tambahan ini adalah hasil daripada penjimatan daripada subsidi minyak.

Penjimatan RM7 bilion ini terbukti hasil langkah tegas kerajaan menstruktur semula subsidi minyak adalah wajar. Sebagai contoh, seperti yang diumumkan peruntukan sebanyak RM1.2 bilion untuk membina 25, 000 buah rumah kos rendah dan sederhana bagi memastikan lebih ramai rakyat mampu memiliki kediaman yang lebih selesa. Penyaluran sebanyak RM600 juta untuk penyelenggaraan projek-projek kecil seperti membina jalan kampung, membina jambatan kecil dan balai raya.

Ini menunjukkan tindakan tegas kerajaan dengan pengurangan subsidi minyak sebelum ini sudah menampakkan hasilnya. Cuba bayangkan jika kerajaan menggunakan terlalu banyak wang untuk pemberian subsidi minyak seperti yang dimahukan oleh pembangkang, kita tidak mungkin dapat menjimatkan wang sebanyak RM7 bilion ini untuk digunakan kepada perkara yang lebih menguntungkan rakyat pada jangka masa panjang.

Sebelum ini pembangkang berhujah setiap kali pasaran harga minyak dunia naik, keuntungan Petronas juga akan naik. Namun sejak penurunan harga minyak dunia akhir-akhir ini, tiada lagi kedengaran keperitan hidup rakyat akibat daripada kenaikan harga minyak negara seperti yang diperjuangkan oleh pembangkang. Demonstrasi dan protes turun harga minyak anjuran pembangkang sebelum ini jelas hanya mahu mengambil kesempatan atas kesempitan kehidupan rakyat.

Maka terbukti tindakan kerajaan yang bertanggungjawab dan amanah ini dengan memberi pancing adalah lebih baik daripada memberi seekor dua ikan kepada rakyat.

Tun Nila Utama: Reti Mensyukuri Nikmat Allah & Segala PemberianNya...

Friday, November 07, 2008

KESAL BAHASA KEBANGSAAN DIPOLITIKKAN

Merujuk kepada perbahasan parlimen pada 6 November antara Menteri Pelancongan dengan wakil pembangkang berhubung dengan isu pemasangan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang.
Agak menghairankan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh untuk memasang papan tanda pelbagai bahasa sedangkan banyak lagi isu yang lebih penting seperti usaha untuk menarik pelancong luar negara datang berkunjung ke negeri itu.
Adakah dengan memasang papan tanda pelbagai bahasa itu dapat menarik lebih ramai pelancong? Jika mahu memperkenalkan budaya negara ini kepada pelancong luar negara, selain memudahkan pelancong-pelancong untuk berada di Pulau Pinang terutama dari China, itu bukan cara yang terbaik.
Mengapa tidak dipergiatkan lagi promosi makanan pelbagai kaum, selain menambahkan lagi program-program pelbagai adat budaya bagi setiap bangsa dan etnik di Malaysia? Ini adalah cara yang lebih baik dan memberi makna yang mendalam kepada pelancong-pelancong untuk memahami perbezaan adat budaya di negara kita.
Isu sebenar bukanlah papan tanda pelbagai bahasa tetapi bagaimana kita menggiatkan lagi usaha bagi menambah pulangan hasil daripada pakej pelancongan yang lebih menarik.
Dalam hal ini, bahasa kebangsaan janganlah dipolitikkan hanya kerana untuk menunjukkan keprihatinan yang tidak sepadan dengan objektif sebenar iaitu bagi meningkatkan ekonomi pelancongan negara terutama di Pulau Pinang.
Tun Nila Utama: CINTAILAH BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN