Friday, November 07, 2008

KESAL BAHASA KEBANGSAAN DIPOLITIKKAN

Merujuk kepada perbahasan parlimen pada 6 November antara Menteri Pelancongan dengan wakil pembangkang berhubung dengan isu pemasangan papan tanda pelbagai bahasa di Pulau Pinang.
Agak menghairankan Kerajaan Negeri bersungguh-sungguh untuk memasang papan tanda pelbagai bahasa sedangkan banyak lagi isu yang lebih penting seperti usaha untuk menarik pelancong luar negara datang berkunjung ke negeri itu.
Adakah dengan memasang papan tanda pelbagai bahasa itu dapat menarik lebih ramai pelancong? Jika mahu memperkenalkan budaya negara ini kepada pelancong luar negara, selain memudahkan pelancong-pelancong untuk berada di Pulau Pinang terutama dari China, itu bukan cara yang terbaik.
Mengapa tidak dipergiatkan lagi promosi makanan pelbagai kaum, selain menambahkan lagi program-program pelbagai adat budaya bagi setiap bangsa dan etnik di Malaysia? Ini adalah cara yang lebih baik dan memberi makna yang mendalam kepada pelancong-pelancong untuk memahami perbezaan adat budaya di negara kita.
Isu sebenar bukanlah papan tanda pelbagai bahasa tetapi bagaimana kita menggiatkan lagi usaha bagi menambah pulangan hasil daripada pakej pelancongan yang lebih menarik.
Dalam hal ini, bahasa kebangsaan janganlah dipolitikkan hanya kerana untuk menunjukkan keprihatinan yang tidak sepadan dengan objektif sebenar iaitu bagi meningkatkan ekonomi pelancongan negara terutama di Pulau Pinang.
Tun Nila Utama: CINTAILAH BAHASA MELAYU SEBAGAI BAHASA KEBANGSAAN

No comments: